DARAH DALAM AIR KENCING TANDA MASALAH SERIUS

DARAH DALAM AIR KENCING TANDA MASALAH SERIUS
Bayangkan ketika membuang air kecil, tiba-tiba kita melihat ada darah dalam air kencing. Pastinya keadaan itu mencetuskan rasa panik dan bimbang kerana perkara itu tidak pernah berlaku. Pelbagai persoalan muncul di benak dan menyebabkan kita risau apa terjadi kepada kita.


Kencing berdarah atau hematuria bukan perkara biasa yang boleh dipandang ringan. Kehadiran darah dalam air kencing mungkin kecederaan dalaman akibat melakukan senaman berlebihan atau penggunaan ubatan dan bahan kimia, tetapi ia juga gejala kepada penyakit lebih serius iaitu kanser.



Kencing berdarah terbahagi kepada dua jenis. Jenis yang pertama ialah darah dalam air kencing dapat dilihat dengan mata kasar apabila bahan kumuh itu berwarna merah atau coklat gelap (gross hematuria). Manakala yang kedua pula ialah darah hanya dapat dikesan menerusi mikroskop oleh pemeriksaan doktor (microscopic hematuria) selepas pesakit mengadu pedih dan sakit pada kemaluan ketika membuang air kecil. 

Hematuria boleh berlaku disebabkan pelbagai sebab. Bagi sesetengah orang, darah di dalam air kencing boleh hilang dengan sendirinya dan ada individu lain memerlukan rawatan. Wanita lebih tinggi mendapat kencing berdarah berbanding lelaki. Ia tidak sama dengan masalah kencing kotor atau kurang lawas sering diperkatakan umum.



PENYEBAB KENCING BERDARAH

Dr Nik Hazlina seorang Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dan juga Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) memberitahu bahawa, kencing berdarah boleh berlaku kerana jangkitan saluran kencing apabila mikro organisma seperti bakteria memasuki saluran kencing dan berkembang biak sehingga menyebabkan keradangan pada saluran kencing.

Kehadiran bakteria itu juga boleh merebak ke organ kencing lain seperti pundi kencing, ureter atau turut mampu menyebabkan jangkitan pada buah pinggang.


#1 JANGKITAN TREK URINARI
Biasanya berlaku di kalangan wanita. Ia berlaku apabila bakteria  memasuki tubuh melalui uretra (tiub yang membawa air kencing dari pundi kencing ke luar) dan mula membiak di dalam pundi kencing. Kuman penyebab jangkitan saluran kencing selalunya berasal dari kulit berhampiran dengan pembukaan uretra. 

Wanita lebih senang dijangkiti kerana mereka mempunyai saluran kencing lebih pendek berbanding dengan lelaki. Kuman boleh sampai ke pundi kencing dengan lebih mudah kerana jarak dekat. Apabila ini terjadi seseorang itu kan kerap kencing, rasa sakit dan panas semasa kencing serta air kencing berbau sangat hancing dan kuat. 
DARAH DALAM AIR KENCING TANDA MASALAH SERIUS

#2 JANGKITAN BUAH PINGGANG
Ia boleh berlaku apabila bakteria memasuki buah pinggang daripada aliran darah atau bergerak ke atas melalui ureter )salah satu daripada sepasang tiub  yang mengalirkan air kencing dari pelvis ginjal ke pundi kencing).

#3 BATU DALAM BUAH PINGGANG ATAU PUNDI
Mineral dala air kencing yang telah sejat akan mendap, membentuk hablur pada dinding-dinding buah pinggang atau pundi. Lama kelamaan hablur ini akan menjadi batu kecil dan keras. Inilah yang dinamakan sakit batu karang. 
Sakit batu karang turut menyumbang kepada kehadiran darah dalam air kencing.


#4 PROSTAT MEMBESAR
Bagi lelaki, semakin mereka berusia, kelenjar prostat mereka akan membesar atau bengkak dan proses ini mengecilkan uretra sehingga menyekat aliran air kencing. Keadaan ini menyebabkan sama ada sukar membuang air kecil atau keinginan kuat untuk membuang air kecil.

#5 PENYAKIT YANG DIWARISI
Darah dalam air kencing juga boleh berpunca daripada kecacatan dalam sel darah merah atau seseorang menghidap sel sabit pada anemia, iaitu kelainan genetik pada tubuh manusia yang diwarisi dari keluarga.

Jika anda mengalami tanda-tanda seperti di atas anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan yang menyeluruh dan terperinci. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

RUJUKAN:
http://emedicine.medscape.com/article/981898-overview
http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/blood-in-urine/basics/definition/con-20032338
http://www.webmd.com/first-aid/blood-in-the-urine-treatment
http://www.webmd.com/children/hematuria-benign-familial

Comments